Tuesday, April 20, 2010

Peri Pentingnya Nilai Prihatin


Oleh ZALILA ISA

(... Sepasang suami dan isteri yang merupakan petani, pulang ke rumah setelah berbelanja. Ketika mereka membuka barang perbelanjaan, seekor tikus memerhatikan gelagat mereka.Ternyata yang dibeli oleh petani hari adalah perangkap tikus. Sang tikus panik bukan kepalang. Tikus bergegas lari ke sarang ayam dan bertempik.

Tikus mengadu kepada ayam, “Ada perangkap tikus di rumah. Di rumah sekarang ada perangkap tikus. Ada perangkap tikus!”

“Tuan Tikus! Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku,” jawab ayam.

Tikus pergi menemui seekor kambing sambil berteriak seperti tadi.

“Aku pun turut bersimpati, tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun hal ini tiada kena-mengena dengan aku,” jawab kambing dengan selamba.

Tikus menemui sapi dan mendapat jawapan yang sama seperti sebelumnya.

“Maafkan aku tikus. Perangkap itu tidak berbahaya buat aku sama sekali. Takkanlah sebesar aku ini boleh masuk perangkap tikus,” kata sapi yang sekali gus menerbitkan rasa kecewa di hati tikus.

Dengan rasa kecewa tikus berlari ke hutan menemui ular. Seperti yang sebelumnya juga, ular memperlekeh kebimbangan tikus.

Akhirnya, tikus kembali ke rumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang diri. Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar perangkap tikusnya berbunyi menandakan umpan sudah mengena. Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa. Buntut ular yang terperangkap membuat ular semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah.

Walaupun si suami sempat membunuh ular berbisa tersebut, isterinya tidak sempat diselamatkan. Si suami membawa isterinya ke rumah sakit.

Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh pulang, namun tetap sahaja demam.

Isterinya lalu minta dimasakkan sup kaki ayam oleh suaminya kerana percaya sup kaki ayam boleh mengurangkan demam. Tanpa berfikir panjang, si suami pun dengan segera menyembelih ayamnya untuk mendapatkan kaki ayam yang akan dibuat sup untuk isterinya.

Beberapa hari kemudian sakitnya tidak kunjung reda. Seorang teman menyarankan isteri petani untuk makan hati kambing. Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya. Masih juga isterinya tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia. Ramai yang datang melawat jenazahnya. Kerana rasa sayang suami pada isterinya, tak sampai hati pula dia melihat orang ramai tak dijamu apa-apa. Tanpa berfikir panjang dia pun menyembelih sapinya untuk memberi makan orang-orang yang berziarah.

Dari kejauhan tikus menatap dengan penuh kesedihan. Tidak disangka, kawan-kawannya yang suatu waktu dahulu percaya perangkap tikus itu tidak ada kena mengena dengan mereka akhirnya melibatkan diri dan nyawa mereka juga...)

KISAH di atas merupakan sebuah kisah yang selalu diceritakan oleh ibu bapa, guru-guru di sekolah mahupun pakar motivasi yang berkaitan dengan sikap prihatin sesama manusia.

Prihatin merupakan satu sikap yang jika diamalkan membawa manfaat kepada semua pihak. Prihatin merupakan sikap mengambil berat atau mengambil perhatian terhadap sesuatu perkara.

Prihatin juga sering dikaitkan dengan sikap berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapat apa yang diimpikan. Prihatin mengandungi nilai simpati dan empati antara individu. Prihatin juga adalah silaturrahim.

Dalam masyarakat hari ini, sifat prihatin semakin longgar. Tidak kira sama ada berada di kampung, apatah lagi di bandar, sifat ini sudah semakin nipis kerana dihimpit dengan kesibukan individu yang bekerja, mengejar masa untuk menyudahkan tugas harian dan sebagainya sehingga terbitnya satu lagi sifat hasil dari ketiadaan nilai keprihatinan dalam diri, iaitu sifat mementingkan diri sendiri.

Selain sifat prihatin diketepikan dengan alasan masing-masing sibuk bekerja, prihatin juga disisih kerana sesetengah individu percaya bahawa setiap manusia mempunyai hak peribadi yang tidak perlu dicampur atau diganggu gugat oleh orang lain. Manakala, masyarakat kampung yang dahulunya terkenal dengan ikatan keprihatinan juga telah mula melonggarkan ikatan itu dengan alasan yang sama.

Melihat kemajuan dan kemodenan yang dicapai oleh Malaysia hari ini, setiap masyarakat memberi sumbangan yang pelbagai. Kemudahan dan keselesaan yang wujud menjadikan Malaysia sebuah negara contoh yang menempatkan pelbagai jenis kaum dan berbilang agama. Bukankah ini suatu kemajuan yang baik dan mengundang seribu satu macam kelebihan untuk Malaysia menjadi sebuah negara contoh yang tinggi nilai sosial dan kemanusiaan.

Seperti kebanyakan negara maju yang lain, indeks jenayah juga meningkat apabila sesebuah negara mencapai tahap negara maju dengan pelbagai perkara yang mendampinginya seperti kepesatan aspek ekonomi, kebanjiran warga asing dan kepadatan penduduk. Di samping itu, budaya-budaya baharu juga menular dengan cepat seiring dengan kepesatan pembangunan teknologi yang memberi kesan kepada perhubungan komunikasi dan penyebaran maklumat.

Antara budaya yang sering dikaitkan dengan negara maju ialah budaya hedonisme dan sifat hedonistik (budaya mementingkan keseronokan dan kesenangan hidup), budaya materialisme dan sikap materialistik (mementingkan kebendaan), gangsterisme dan segala bagai fahaman sekularisme dan liberalisme yang akhirnya membentuk masyarakat yang berpuak dan mementingkan diri sendiri.

Sifat yang boleh membuang budaya negatif yang tersenarai di atas ialah sifat prihatin. Prihatin dalam semua aspek menjadikan masyarakat lebih tahu apa yang baik dan apa yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada dirinya dan orang lain.

Kes-kes seperti kanak-kanak yang hilang baru-baru ini memberi banyak konotasi. Pertama ibu bapa dan ahli keluarga mangsa yang kurang prihatin dengan persekitaran dan juga masyarakat setempat yang tidak mengambil tahu hal sekeliling menjadikan proses ‘menculik’ atau perlakuan jenayah dilakukan dengan mudah.

Namun, selepas itu msyarakat mula prihatin dengan kehilangan itu dengan usahasama pelbagai pihak bertungkus lumus dan berusaha membantu apa yang terdaya untuk mencari kanak-kanak yang hilang.

Persoalannya, sampai bilakah kita harus berpayung di bawah perumpamaan, “sudah terhantuk baru terngadah”, “sudah kalah baru berkubu”, “sudah kecurian baru mengunci pintu”?

Peranan yang dimainkan oleh sifat keprihatinan amat banyak. Dalam keluarga sendiri, seorang suami harus prihatin dengan keperluan isteri dan keluarga yang akhirnya akan menghindar gejala yang negatif dalam keluarganya. Begitu juga dengan keprihatinan seorang isteri terhadap suaminya dalam membantu mengukuhkan tiang kekeluargaan, juga sebagai ibu yang memberi didikan kepada anak-anak.

Setiap pemimpin harus prihatin kepada masyarakat yang dipimpin supaya tidak timbul rasa tidak puashati sehingga mencetus perbalahan, tunjuk perasaan dan sebagainya. Dan yang lebih penting, setiap individu mempunyai sifat prihatin yang tinggi kerana setiap manusia memerlukan antara satu sama lain.

Islam mengaitkan konsep prihatin dengan aspek mengambil tahu setiap yang ciptakan oleh Allah s.w.t dan juga menitikberatkan aspek silaturrahim sesama manusia dan penciptanya.
Islam juga menyarankan agar setiap manusia saling berhubungan antara satu sama lain yang akhirnya akan menyemai sifat prihatin.

Firman Allah s.w.t melalui surah al-Hujuraat, ayat 13, yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Membezakan konsep ‘menjaga tepi kain orang’ dengan konsep prihatin amat penting. Secara kasarnya, jelas menjaga tepi kain orang merupakan satu sikap yang buruk. Prihatin lebih kepada mengambil tahu hal sekeliling yang akhirnya akan memberi manfaat yang pelbagai kepada setiap individu.

Berfikir dengan bijak dan berfikiran jauh ketika mendengar seseorang dalam kesusahan ataupun apa-apa jua masalah yang berlaku di sekeliling menjadikan kita seorang yang prihatin. Jika anda rasa dan mengira itu bukan urusan anda, fikirkanlah sekali lagi.

Kemungkinan nasib anda seperti ayam, kambing, sapi, dan ular seperti dalam kisah tikus di atas.

No comments:

Post a Comment